Adakah anda perasan perkara ini tak setiap kali potong kuku?
“Eh, kuku jari tangan aku lagi cepat panjang dari kuku jari kaki”.
Sampai ianya membuatkan anda memotong kuku jari tangan seminggu sekali. Tetapi anda hanya potong kuku jari kaki mungkin dua atau tiga minggu sekali.
Pernahkah anda tertanya kenapa ini berlaku?
Anda sebenarnya tak keseorangan. Soalan yang sama pernah bermain di fikiran saya. Dan juga Dr William Bean, ahli fizik di Walter Reed Army Medical Center, Amerika Syarikat. Beliau mula mengkaji perkara ini pada umurnya 32 tahun.
Mulanya, dia calarkan sedikit kukunya di bahagian “cuticle” pada setiap awal bulan. Dan beliau lakukannya secara konsisten selama 20 tahun. Semata-mata kerana ingin melihat pertumbuhan kukunya. Wow.
Bukan itu saja. Untuk kajian lebih tepat, dia juga sanggup buat tatu di pangkal kukunya.
Hasilnya, beliau dapati kuku beliau semakin lama semakin lambat tumbuh. Sehinggakan kukunya tumbuh lewat sebulan berbanding pada tahun-tahun awal kajiannya.
Jadi, beliau simpulkan, pertumbuhan kuku berkait rapat dengan aliran darah dan kadar metabolisma badan. Semakin anda tua, semakin perlahan peredaran darah dan kadar metabolisma badan. Maka, semakin perlahanlah kuku anda untuk tumbuh.
Patutlah kuku anak lebih cepat panjang dari saya. Dan lebih kerap saya memotong kukunya berbanding kuku saya sendiri.
Selain itu, para penyelidik juga mendapati sesuatu. Sekiranya anda kidal, maka kuku jari kiri anda lebih cepat panjang berbanding kuku jari kanan. Begitu jugalah sebaliknya untuk mereka yang tidak kidal.
Jadi, penyelidik pun simpulkanlah beberapa jawapan kepada persoalan asal kita tadi.
1) Oleh kerana jari tangan lebih dekat dengan jantung berbanding jari kaki, maka peredaran darah lebih banyak di tangan berbanding kaki. Jadi, lagi cepatlah kuku jari tangan menjadi panjang berbanding kuku jari kaki.
2) Oleh kerana kita lebih banyak gerakkan jari tangan daripada jari kaki, maka kuku jari tangan jadi lebih cepat panjang berbanding kuku jari kaki.
Tambah lagi pula zaman gajet. Jari tangan lagilah asyik menaip saja kan.
Lepas ni kalau anak anda tanya soalan sama, kongsikan saja jawapan di atas.
Sumber asal;
http://www.mnn.com/health/fitness-well-being/stories/why-do-fingernails-grow-faster-than-toenails
Leave a Reply