Jerebu |
Apakah Jerebu?
Jerebu yang kelihatan di latar langit bandar kita disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera.
Pada kepekatan yang tinggi, zarahan ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri. Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan alam sekitar bandar tetapi dicerap juga di luar bandar.
Zarah Jerebu – Asal Kejadiannya
Keadaan di Malaysia yang Membantu Pembentukan Jelebu
Di tropika, laju angin biasanya perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa
Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera sangat stabil dan pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurang. Dalam keadaan ini, pembentukan awan tidak aktif menyebabkan cuaca kering. Beberapa faktor seperti tempoh cuaca kering yang panjang, atmosfera yang stabil dan sumber pencemaran yang banyak di bandar atau luar bandar merupakan ramuan unggul pembentukan jerebu. Zarahan yang dibebaskan terperangkap di dalam atmosfera jisim udara bergenang dan meningkatkan kepekatannya. Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos.
Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut yang umumnya bertiup
kuat dari Laut China Selatan sering menurunkan kelengasannya di daratan sebagai hujan menyeluruh, oleh itu jerebu jarang kelihatan.
Apakah yang Menyebabkan Jerebu Hilang?
Atmosfera kita berubah-ubah, demikian juga halnya terdapat hari yang berjerebu
dan hari cerah. Apakah yang berlaku ? Zarahan di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses. Zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pengendapan graviti.
Proses basuhan hujan melibatkan pemeluwapan wap ke atas zarah kumin
bagi membentuk titis air yang akhirnya menghasilkan awan. Zarahan juga disingkirkan melalui perlanggaran dan perlekatan dengan turunnya titis hujan melalui proses yang disebut cucian.
Golakan juga memainkan peranan membawa zarahan jerebu ke paras atmosfera
tinggi untuk sebaran yang lebih berkesan. Dalam kes ini, hujan lebat / ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan. Hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
Jerebu, Kabus atau Kabut?
Jerebu sering disalah anggap dengan kabus atau kabut. Pada awal pagi atau selepas
turunnya hujan apabila suhu rendah dan kelembapan tinggi, kabus dan kadangkala kabut terbentuk di kawasan lembah dan tanah rendah. Ianya akan hilang perlahan-lahan setelah matahari naik. Kabus dan kabut terbentuk hasil daripada pemeluwapan wap air ke atas zarah terampai di atmosfera. Dalam kajicuaca, kabus wujud jika ketampakan menjadi kurang (tanpa cuaca lain) dan kelembapan bandingan atmosfera di permukaan bumi melebihi 95%. Bila ketampakan mengufuk mengurang di bawah 1000 meter, fenomena dikelaskan sebagai kabut.
Adakah Jerebu Merbahaya?
Jerebu yang berasal daripada sumber semula jadi seperti garam laut dan debu tanah adalah tidak
memudaratkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif. Semasa episod jerebu, orang awam digesa supaya mengikut arahan / nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Bagaimana Kita Boleh Kurangkan Kejadian Jerebu?
1. Hindari daripada membakar bahan buangan secara terbuka.
2. Kenderaan perlulah diselenggara dengan baik disamping memilih bahan api yang rendah bahan cemarnya.
3. Promosi ke arah penanaman semula pokok dan mengurangkan pembukaan tanah boleh
mengurangkan jerebu. Perlu diingat bahawa setiap individu mempunyai peranan untuk mengekalkan kualiti alam sekitar sebagai warisan generasi akan datang.
Apakah Peranan Kerajaan?
Kerjasama rapat dikalangan semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang
berkaitan serta media massa amat diperlukan semasa episod jerebu bagi memastikan semua data yang diperlukan dalam membuat keputusan diperolehi dan sebarang nasihat dapat disebarkan dengan cepat kepada orang awam. Diperingkat serantau, ASEAN telah memulakan Pelan Kerjasama ASEAN Pengurusan Pencemaran Rentas Sempadan untuk menangani isu-isu seperti jerebu rentas sempadan.
Maklumat terkini masalah jerebu di Malaysia sepanjang bulan June 2013
Masalah jerebu yang melanda Malaysia pada Jun 2013 telah membuatkan sesetengah
kawasan mempunyai indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, yang dianggap tidak sihat
Pihak yang terlibat, telah mengeluarkan satu nasihat umum untuk orang ramai,
terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengelakkan aktiviti luar ![]()
Jerebu di Malaysia
Selain itu, negara jiran Singapura turut dilanda jerebu tebal yang memenuhi
ruang udara negara itu ekoran kesan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia
Maklumat semasa dan terkini indeks pencemaran udara Malaysia (APIMS)
Orang ramai boleh mengikut laporan mengenai bacaan indeks jerebu dikawasan yang terjejas
dengan melayari laman sesawang rasmi Jabatan Alam sekitar, klik pada pautan url http://www.doe.gov.my/webportal |