Suami menghantar link berita di bawah kepada saya semalam.
Luar biasa ceritanya;
Cerita tentang sebuah sekolah kampung yang mendapat tempat kelima daripada 25 buah sekolah dalam pertandingan Choral Speaking berbahasa Inggeris.
Lebih luar biasa ceritanya;
Sekolah kampung yang serba serbi kekurangan ini telah bersaing dengan sekolah Convent, Sekolah Berprestasi Tinggi, Maktab dan Sekolah Kluster dalam Pertandingan ni.
Orang kata, kalau kita ingin berjaya, maka kita kena belajar dari orang berjaya.
Jadi, apa yang kita boleh belajar daripada pelajar sekolah kampung yang berjaya ini?
1) Setiap orang ada kekurangan, dan kekurangan pada diri kita bukan alasan untuk tak berjaya dalam mencapai cita-cita….
Ha, pelajar-pelajar sekolah kampung ini tak ada kemahiran bertutur bahasa Inggeris yang baik. Mahu menyusun ayat berbahasa Inggeris pun susah. Apatah lagi mahu membunyikan (pronounce) Satu-Satu perkataan dengan tepat. Ditambah pula dengan pakaian sekolah yang lama dan lusuh. Tapi pada mereka, kekurangan sedia ada bukan satu alasan atau juga halangan untuk berjaya.
2) Tetapi, kekurangan itu harus dijadikan pembakar semangat bagi mengenepikan pandangan salah orang lain tentang kemampuan kita…
Pelajar-pelajar sekolah kampung ini bukan nak sertai Choral Speaking hanya sekadar cukup dapat tempat terakhir. Mereka tak mahu diketawakan dan diejek oleh pelajar-pelajar sekolah lain. Mereka nak buktikan pandangan orang lain tentang kemampuan mereka adalah salah sama sekali.
3) Dari itu, kita mesti tahu bahawa usaha berganda secara berterusan adalah jalan utama untuk berjaya….
Pelajar-pelajar sekolah kampung ini tahu peratusan untuk berjaya di dalam pertandingan ni adalah rendah disebabkan kekurangan sedia ada. Tapi, mereka cuba gandakan usaha melalui latihan yang berterusan berbulan lamanya, termasuklah di bulan puasa.
4) Dan, apabila ada masa-masanya, keyakinan kita menurun, sentiasa berbincanglah dengan mentor…
Pelajar-pelajar sekolah kampung ini tak segan bagi tahu cikgu tentang ketidakyakinan untuk tidak berjaya. Mereka tak simpan perasaan itu di dalam diri. Jadi, bolehlah cikgu mencari jalan dan memberi motivasi sesuai bagi mengatasi perasaan ketidakyakinan pelajar-pelajar ini.
5) Akhir sekali, tiap-tiap kejayaan kecil boleh membawa kita kepada kejayaan yang lebih besar. Jadi, kekalkan momentum setiap kejayaan….
Pelajar-pelajar sekolah kampung ini tahu bahawa tiap usaha mereka sebenarnya mendatangkan kejayaan kecil, walaupun sebelum pertandingan bermula. Contohnya, menghafal penuh teks tiga muka surat, berdiri dan bercakap di dalam bahasa Inggeris. Ini semua membawa kepada kejayaan lebih besar, iaitu mendapat tempat kelima.
Hebat kan? Buat sebuah sekolah yang disebut-sebut orang bakal mendapat tempat tercorot dalam pertandingan.
Kalau mereka boleh berjaya di dalam bidang mereka, kita pasti lebih boleh berjaya di dalam bidang kita.
“Together for a better future.”
Sila baca berita penuh di:
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/cheryl-ann-fernando/article/when-a-sekolah-kampung-did-well-in-an-english-competition
Leave a Reply