Kak Es nak kongsikan kepada ibu ibu , yang pernah mengadu sakit kepala yang teruk kebiasaanya pada trimester pertama. Jika berlaku terlalu kerap sebelum hamil , biasanya ibu ibu akan menghadapinya lebih teruk lagi selepas hamil. Puncanya kita sendiri tidak dapat ketahui dengan lebih tepat.
Ia mungkin disebabkan oleh perubahan hormon semasa hamil dan juga perubahan kitaran darah. Rasa sakit kepala disebabkan oleh pada bahagian tertentu. Kesakitannya pula berbeza beza. Mungkin ada yang rasa seperti dihentak dengan benda keras atau berdenyut denyut. Kadang tu boleh menyebabkan sehingga migrain , sakit kepala di sebelah bahagian sahaja dan menyebabkan kita rasa loya, mual, kepala jadi berat dan sakit yang amat.
Sebab itu ibu ibu perlu ubah gaya hidup yang lebih sihat seperti elakkan pengambilan kafein, tidur yang cukup, jauhkan diri daripada tekanan dan senaman ringan seperti senaman pernafasan secara dalam.
Jika ibu ibu mengalami masalah sakit kepala yang teruk, Kak Es nasihatkan rujuk kepada Pegawai Obstetrik anda. Jangan ambil sebarangan ubat tanpa arahan kerana ia boleh menjejaskan janin anda. Pengambilan Paracetamol mungkin boleh membantu namun ia hanyalah seketika. Ibu hamil elakkan dari mengambil aspirin atau ibuprofen semasa hamil kecuali di atas nasihat doktor anda. Ibu yang hamil tidak sepatutnya mengambil ibuprofen sama sekali terutamanya apabila usia kandungan sudah cecah minggu ke-28 dan seterusnya.
Bagaimana pula tips mengelakkan sakit kepala berulang? Ramai juga yang meluahkan perasaan terutamanya di Group Ibu Hamil Facebook.
Jika ibu ibu tidak pasti penyebab utama yang boleh menyebabkan sakit kepala atau migrain, cuba kenal pasti apakah dalam gaya hidup anda yang boleh menjadi puncanya. Setelah mengetahui penyebabnya, beberapa langkah boleh diambil untuk mengelakkan sakit kepala daripada berulang.
Ibu ibu ini perlu simpan diari yang boleh merekodkan kejadian setiap sakit kepala berlaku kerana ini sangat membantu anda semua kenal pasti penyebabnya. Buatlah nota setiap hari dan rekodkan masa bila sakit kepala itu bermula, kekuatan sakit, di mana tempat sakit, dan berapa lama masa tempoh kesakitan dialami.
Rekodkan juga apa apa yang di makan pada hari tersebut dan bila, adakah kita bergerak aktif pada hari itu, adakah berada dalam keadaan stres atau dalam keadaan rehat, berapa lama tidur dan adakah kita mengambil apa apa ubat. Selepas lebih kurang seminggu, kita mungkin dapat melihat corak atau polanya, maka penyebab sakit kepala atau migrain mungkin boleh dikenal pasti.
Jika sakit kepala itu disebabkan oleh faktor faktor tertentu, cuba cari teknik yang boleh membantu mengelakkan faktor tersebut. Berdasarkan faktor itu, panduan yang berikut mungkin boleh membantu.Carilah masa untuk berehat dab cuba tenangkan diri. Jika ditempat kerja, cari tempat duduk dengan meninggikan kaki dan berehat semasa waktu makan tengah hari.
Di rumah pula, cuba kurangkan aktiviti membuat kerja kerja rumah. Teknik teknik menenangkan diri seperti yoga atau meditasi juga mungkin boleh membantu. Cuba dapatkan masa tidur yang tetap. Kurang tidur atau terlebih tidur walaupun hanya setengah jam daripada biasa boleh menyebabkan migrain atau sakit kepala.
Jika sakit kepala berkaitan dengan ketegangan otot atau postur, berjumpalah dengan ahli fisioterapi. Satu sesi fisioterapi biasanya termasuk urutan, manupulasi, mobilisasi dan senaman yang boleh dilakukan sendiri di rumah.
Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap untuk meningkatkan tahap gula yang rendah di dalam darah, dan jangan meninggalkan waktu makan. Jika sakit kepala disebabkan oleh makanan tertentu, cuba elakkan pengambilan makanan tersebut selama dua minggu untuk memastikan sama ada langkah ini berkesan atau tidak. Kemudian, cuba makan makanan tersebut selepas dua minggu untuk mengesan jika sakit kepala berulang kembali.
Jika ia menjadi lebih serius, maka ibu ibu perlu merujuk kepada pakar obstestrik untuk rawatan selanjutnya. Kadang kadang ia boleh menyebabkan simtom sehingga kabur penglihatan, kesakitan pada atas perut, muntah dan tiba tiba bengkak pada muka, tangan atau kaki. Simtom ini berkemungkinan tanda praeklampsia.
Yang benar,
Misi Kak Es
Leave a Reply