Siapa pernah dengar ayat ;
“Cubalah tengok si Axxxx baik je tak sama macam anak kita.” atau
” Tengok si Axxx ni pandai sangat,petah bercakap tapi kenapa si Bxxx tak macam tu.”
Betul la, tanpa kita sedari kadang kadang kita sendiri pun tercakap tau.Jujur rasa tipu sangatkan kalau tak pernah cakap benda ni. Terbaca artikel Pa&Ma tu yang membuatkan saya nak masukkan juga info berguna di dalam artikel saya ni.
Betullah apa yang majalah Pa&Ma kongsikan, sebelum anda asyik merungut dan membandingkan kebolehan dan keupayaan anak sendiri dengan anak orang lain lebih baik semak beberapa perkara ini.
1. Setiap anak itu sangat unik
Maksudnya setiap anak itu berbeza antara satu sama lain dan mempunyai personaliti yang tersendiri. Perbezaan yang sudah Allah ciptakan sejak mereka berada dalam kandungan ibu lagi. Sepanjang perkembangannya, perbezaan seorang anak dengan yang lain semakin jelas.
2. Cuba pandang anak anda dengan anak orang lain
Bukankah mereka berbeza. Contoh, nama, tarikh lahir, jantina, sikap, perilaku. Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan keunikan tersendiri.
Sedangkan kedua orang anak saya memang mempunyai personaliti yang sangat berbeza. Nuha lebih pendiam iaitu kakak malah adik Bouchra seorang yang agak peramah. Berbezakan?
3. Faham kebolehan anak
Sejak usia bayi lagi, walaupun lahir pada tarikh yang sama tetapi kebolehan mereka untuk belajar meniarap, merangkak, duduk, berjalan dan sebagainya tidak sama.
4. Apa keperluan anak?
Ada anak terlalu aktif dan tak boleh duduk diam. Sementara ada anak lain yang sama usianya hampir tidak bergerak sama sekali. Nampakkan perbezaan dalam hal keperluan mereka untuk bergerak.
5. Minat anak anda
Biasanya perbezaan minat seseorang anak banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan cara dia dibesarkan. Apabila minat tersebut terbentuk dalam diri seorang anak, ini akan menambahkan ciri keunikan seorang anak. Misalnya anak yang sulung gemar melukis sementara anak kedua pula lebih minat bermain lego.
Apabila kita memahami minat mereka, insyaAllah ia lebih mudah dalam membina skill dalam diri mereka masing masing. Saya sendiri mempunyai pengalaman apabila kami menghantar anak sulung kami ke sekolah Taekwando bertujuan supaya si kakak ni bolehlah buang rasa malu. Tapi kami silap. Bila di paksa untuk sertai kelas yang mereka tak suka, ia langsung tidak membantu pun. Tapi alhamdulillah akhirnaya kami kenal juga akan kebolehan mereka lebih kepada ke arah melukis dan juga memasak.
Apa kelebihan memahami keunikan anak?
a. Elak anak berasa tertekan kerana keupayaan, keperluan dan minatnya dihalang.
b. Dengan galakan dan panduan, anak akan menanamkan keyakinan diri yang tinggi. Mereka boleh mengembangkan potensi dirinya.
c. Supaya kita boleh membantu menggilap bakat yang ada dalam diri anak berbanding memaksanya membuat apa yang kita inginkan.
d. Memberi peluang anak untuk berani menyatakan pendapat secara berhemah.
Secara tidak langsung proses membesarkan anak anda menjadi individu yang berkeyakinan tinggi serta berakhlak mulia menjadi lebih mudah. Apabila ibu bapa belajar mengenal keunikan anak dalam hal kebolehannya maka sudah tentu dapat menyesuaikan dengan keperluannya.
Apabila keperluan anak dapat dipenuhi maka ia membantu perkembangan mereka ke tahap maksimal.
Sebagai ibu bapa, kita perlu menjaga amanah Allah SWT ini sebaiknya. Terima kenyataan bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga tidak perlu membandingkannya dengan anak lain.
Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk kebaikan anak daripada sekadar melihat kekurangannya atau membandingkannya dengan anak orang lain.
Leave a Reply